Wednesday, June 2, 2010

secebis hati..(5)



"Bersepahnya meja aku.."

dalam nada hampir ketawa Qistina melihat keadaan meja beliau.

Qistina mengemas buku-buku rujukan yang berselerak di atas meja. Malam tadi baru sahaja beliau selesai mengulangkaji beberapa subjek untuk menghadapi ujian minggu hadapan. Segala buku nota dan bahan rujukan memenuhi meja beliau. Memang beginilah Qistina jika ingin menghadapi sesuatu ujian. Sejak zaman sekolah rendah, menengah dan kini di universiti..tetap sama. Walaupun begitu Qistina sebenarnya tidak suka keadaan yang berselerak, rimas mata katanya.

Sebenarnya hari ini Qistina tiada kelas. Badan Qistina agak lemah berbanding hari-hari sebelum. Mungkin kerana terlalu penat mengulangkaji pelajaran ataupun sakitnya kembali menyerang setelah lima tahun tidak lagi diserang sakit. Jika dahulu, beliau berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang setiap bulan. Hampir sebahagian kehidupan remajanya di sekolah telah banyak dihabiskan di hospital. Walaupun begitu, Qistina rajin bertanya rakan-rakan dan guru sekiranya ada pelajaran yang kurang difahaminya. Kadangkala Qistina terpaksa berminggu-minggu tinggal di hospital kerana keadaannya yang agak teruk. Itu yang menyebabkan kedua ibubapa Qistina susah hati dan ibunya terpaksa berhenti kerja sebagai Pegawai Penyelidik di UM untuk menjaga Qistina. Satu pengorbanan yang cukup besar dari seorang ibu kepada anak gadisnya ini.

Rakan sebilik Qistina awal-awal lagi telah pergi kuliah. Seramai empat orang berkongsi bilik ini. Shazleen berasal daripada Kuching Sarawak, Muliyana berasal daripada Kuala Lumpur dan Nurjannah gadis ayu dari Johor Bahru. Mereka berempat dipertemukan ketika sama-sama mula memasuki UDM dua semester yang lepas. Bapa Qistina berjumpa dengan pengetua kampus memohon Qistina ditempatkan di aras yang paling bawah. Ini adalah bagi memudahkan sekiranya sesuatu terjadi pada Qistina.

Qistina tersenyum melihat meja dan buku-bukunya kembali kemas seperti asal. Puas hatinya apabila buku-buku rujukan yang dipinjam dari perpustakaan diletakkan di satu sudut bersebelahan dengan meja belajar. Ada sebahagian buku ini dipinjamkan oleh senior Qistina, Asyraf. Asyraf seperti ingin mendekati Qistina namun awal-awal lagi beliau menerangkan dirinya telah berpunya. Walaupun Asyraf mempunyai perwatakan yang menarik namun bagi Qistina hanya Iqbal yang mampu mengisi kekosongan'hati'nya. Ya Iqbal..mengapa lama kau mendiamkan diri?

secebis hati..(4)


"aku nak cakap sikit dengan ko.."

Iqbal membuka mulut selesai sahaja mereka berdua solat Maghrib berjamaah. Kali ini Fawwaz yang menjadi imam. Mereka bertukar-tukar menjadi imam setiap hari. Fawwaz melipat kain sejadah dan menyangkut di tepi tingkap. Langkah Fawwaz agak perlahan seolah-olah menanti sahabatnya meneruskan percakapannya. Anak mata Iqbal mengekori langkah Fawwaz dan berhenti setelah Fawwaz membuka tingkap. Fawwaz merenung jauh ke luar rumah.

" cakap la..aku rasa memang banyak yang ko nak bagitau aku"

tenang sahaja daripada mulut Fawwaz. Fawwaz tahu sahabatnya itu kini bersedia untuk menceritakan apa yang sebenarnya terbuku di hatinya. Sepanjang perjalanan dari kebun petang tadi, mereka berdua lebih selesa mendiamkan diri daripada berbual-bual seperti biasa. Cuma sesekali Iqbal menegur Fawwaz kerana nampak kepenatan sangat. Sebenarnya teguran itu bukannya ikhlas seperti biasa cuma untuk menjernihkan keadaan yang sedikit muram dari tadi. Fawwaz masih ternanti-nanti apa yang akan keluar dari mulut Iqbal. Pandangan ke luar jendela telah bertukar haluan ke arah wajah Iqbal.

"aku ingat nak pergi ke Kuantan...cari kerja kat sana. Lagipun dekat sikit dengan Qis"

laju sahaja perkataan itu keluar dari mulut Iqbal. Walaupun beliau tahu ada kemungkinan kata-kata ini akan menyinggung perasaan Fawwaz. Malahan mereka berdua pernah berjanji akan bersama kemana sahaja. Dan Iqbal yakin Fawwaz tak akan bersetuju dengan hasratnya itu. Mereka pernah bercadang untuk berhijrah ke Kuala Lumpur hujung tahun ini, mencari pekerjaan dan membina hidup baru. Bunyi cengkerik di luar rumah bertambah perlahan seolah-olah menyatakan sesuatu kepada Fawwaz agar membantah!
Hening senja menambah hening dua orang sahabat baik ini. Kelihatan wajah Fawwaz sedikit berkerut namun mulutnya masih terkunci.

"kalau boleh kita pergi sama-sama. Takkan aku nak pegi sorang-sorang dan tinggalkan ko kat kampung ni"

Iqbal cuba mengambil hati sahabatnya yang nampak mula terluka dengan hasratnya itu. Memang hasratnya bukan untuk pergi bersendirian namun sudah pasti Fawwaz akan menolak mentah-mentah. Namun sekurang-kuranya beliau bersuara. Mencuba. Kepekatan malam mula menutup pandangan indah di luar jendela. Iqbal tetap berharap Fawwaz akan bersetuju..untuk ke Kuantan!

Tuesday, June 1, 2010

secebis hati..(3)


"memang la dia sepupu aku tapi ini soal hati"

tiba-tiba Iqbal memecah suasana di petang itu. Sememangnya Iqbal menyayangi Qistina lebih dari sepupunya yang lain. Qistina adalah anak Pak Long sebelah mak Iqbal. Walaupun mereka dipisahkan kerana jarak Bagan Datoh dan Kuala Lumpur namun jarak bukan penghalang kepada hubungan mereka ini. Qistina berusia dua tahun lebih tua dari Iqbal dan kini menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam jurusan Sains Komputer.

'Ain Qistina, anak gadis sulong Encik Shuzaiman ini sememangnya amat cantik. Kulitnya yang putih gebu serta berwajah seakan gadis Timur Tengah ini sememangnya persis wajah ibunya. Isteri Encik Shuzaiman berasal daripada Kota Baghdad, Iraq dan telah berhijrah ke Malaysia 20 tahun lepas kerana melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Mereka berdua mengenali satu sama lain ketika sama-sama melanjutkan pelajaran bidang Kedoktoran di universiti ini. Jika tidak kerana kejadian ragut di hadapan pintu masuk UM, pastinya Pak Long dan Mak Long Iqbal tidak mengenali satu sama lain. Menurut cerita aruah mak Iqbal, Pak Long telah mengejar peragut yang membawa lari beg tangan gadis Iraq ini sejauh satu kilometer! walaupun peragut tersebut berjaya melarikan diri namun beg tangan tersebut berjaya ditemui semula.
Bermula kejadian itulah Pak Long menjalinkan hubungan dengan gadis ini sehinggalah berakhir di jinjang pelamin 19 tahun yang lepas.

Kali terakhir Iqbal bertemu dengan Qistina adalah 6 bulan lepas iaitu ketika Pak Long Iqbal datang memberikan wang pusaka kebun aruah mak Iqbal. Kebun pusaka ini dijaga oleh Pak Long setelah terjadinya kemalangan ngeri yang mengorbankan kedua ibu bapa Iqbal itu.

"Qis..bila la dapat jumpa lagi ni..." getus hati Iqbal..sambil tangannya mengibas nyamuk-nyamuk yang mula kekenyangan. Berpuluh-puluh nyamuk terbang menyelamatkan diri untuk mengelakkan dari terkena kibasan itu.

Fawwaz terpinga-pinga apabila suara Iqbal agak meninggi kali ini. Iqbal bukan seperti ini. Walaupun peluh-peluh di baju Fawwaz mulai kering, namun terpercik peluh kehairanan apabila melihat Iqbal bertukar watak.

"aku tau bal..tapi ko tak boleh terus macam ni. Walaupun ko sayang dia, tapi dia sakit.." terpacul kata-kata dari mulut Fawwaz. Agak menyesal kata-kata itu seperti kurang menghormati pendirian sahabatnya itu. Walaupun agak keras namun niat Fawwaz hanyalah untuk memberi kefahaman. Risau juga kalau-kalau Iqbal bertindak balas.

secebis hati..(2)


Iqbal cuba beberapa kali menghalau nyamuk yang seronok menghirup darah di betis anak muda ini. Pandangannya kerap kali tersasar ke arah pohon kelapa yang semakin pupus di kampungnya ini. Jika dahulu memang amat terkenal kampungnya ini sebagai salah sebuah daerah pengeluar buah kelapa namun kini sejarah telah mengubah kedudukan dan ceritanya sama sekali. Bagan Datoh kini tidak lagi menjadi bualan. Liuk lentok pohon kelapa ini memang amat mengasyikkan terutama apabila dihentam angin. Rasa tenang jiwa Iqbal seketika.

Zaman telah berubah. Ribuan pohon kelapa ini semakin tinggi meninggalkan akarnya. Iqbal teringat zaman kanak-kanaknya penuh dengan adegan kejar-mengejar di kebun kelapa bersama beberapa teman termasuklah Fawwaz. Pelbagai aksi termasuklah pernah memanjat pohon kelapa ini akibat dicabar oleh So'oud kononnya untuk memikat Balqis, gadis genit hitam manis anak Wak Leman Ketua Kampung.
Siapa yang tak kenal Balqis? walaupun susuk tubuhnya yang kecil namun senyumannya sudah cukup untuk mmebuatkan jejaka Kg Sungai Batang tidak tidur lena.
Meskipun Iqbal bukannya pilihan hati Balqis namun kadangkala jejaka ini pandai mengambil hati beliau dan Wak Leman bagi membuat sebarang kerja yang disuruh.

Fikiran Iqbal melayang dan berterbangan bersama deruan angin ini. Kadangkala beliau terfikir alangkah seronoknya kalau kedua ibu bapanya masih hidup. Ada orang yang memasak dan menyediakan makanan untuk dirinya. dan ketika itu sudah pasti Iqbal masih belajar di sekolah bersama teman sebaya. Terbayang wajah-wajah nakal Man Rongak, Eida Murai, Salim Puyu, Ros Kubeng. Boleh dikatakan setiap mereka ini mempunyai gelaran masing-masing termasuklah diri Iqbal sendiri yang digelar 'Iqbal Bersin' kerana kekerapan beliau bersin di mana sahaja.

Fawwaz memerhatikan riak wajah Iqbal. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Iqbal dari pengetahuan fawwaz. Walaupun mereka tinggal serumah dan berkongsi suka duka setelah tragedi kepada keluarga amsing-masing, namun seolah-olah berat masalah yang sedang dihadapi oleh Iqbal. Ingin sahaja beliau bertanya namun dimatikan niatnya apabila Iqbal beberapa kali mengeluh panjang. Mungkin terjadi pelbagai reaksi sekiranya beliau meneruskan niatnya itu.

Suasana redup petang di kebun kelapa Wak Leman ini seolah-olah sebuah cerekarama antara dua orang sahabat.
Iqbal ~ mencari jawapan kepada pelbagai soalan dan kemusykilan diri
Fawwaz ~ gerak hati yang terlalu kuat untuk mengetahui keadaan sahabat baiknya, Iqbal

Hujankah namanya?



Beberapa hari ini curahan hujan membasahi bumi (skema ayat aku ni)..
Dek kerana kurniaan Allah SWT ini juga aku meng'MC'kan diri aku hari ini kerana demam menyambut dan bermain titik air ini di hadapan sekolah anak aku semalam..

Bila disebut tentang hujan..banyak yang aku teringat teruatama apabila hujan ini membawa pelbagai makna dan sebab untuk bercerita.
Hampir 14 tahun yang lepas aku terpaksa pergi ke Kuala Lumpur menaiki kereta pakcik aku untuk berjumpa sahabat (awek kot) aku.. Pada perancangan awalnya, aku ingin sahaja membawa motor honda 1000cc (eh..silap...100cc) untuk berjumpa si gadis ini.

Pertemuan yang amat singkat antara aku dan gadis ini membawa 1001 erti dalam sebuah perhubungan.

Andainya aku tiada....


Kadangkala kesakitan ini umpama 'berita terkini' yang akan datang dan pergi dalam masa terdekat ini..
15 May 2010...aku dikejutkan dengan pemergian sahabat aku yang boleh dikatakan amat rapat. Allahyarham adalah seorang ibu kepada 6 orang cahaya mata dan beliau sendiri yang mendermakan hati kepada anak beliau yang menghidap penyakit Bengkak Hati (Biliary Atresia) pada pertengahan tahun 2004.

Anak beliau meninggal dunia selepas hanya 4 hari menerima hati daripada bonda tercinta. Walaupun aku agak kaget dengan pemergian Allahyarhamah, namun kita semua harus dan wajib menerima Qada' dan Qadar kehidupan ini tanpa ada sebarang keraguan kepada Allah SWT, yang menguasai langit dan bumi.
Apa yang agak merisaukan aku adalah..adakah pemergian Allahyarhamah ini ada kaitannya dengan pembedahan pemindahan hati 6 tahun yang lepas?
Namun apa jua yang akan berlaku, kita sebagai manusia harus menerimanya. Andainya aku tiada lagi kelak..mohon segala urusan aku di dunia bersama insan-insan segera dimaafkan.. aku tidak dapat menjangka kapan aku akan 'pergi'..malahan kita semua WAJIB akan 'pergi' juga..

'daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali'

secebis hati..




Iqbal menggelengkan kepala seolah-olah beliau tidak mengerti segala yang diutarakan oleh sahabatnya ini.

'Bal..aku bukannya nak halang ko berkawan dengan dia tapi ko kena faham situasi ni'

Iqbal tidak menghiraukan bebelan sahabat karibnya sejak setengah jam yang lalu. Agak serius perbualan ini apabila dengan tiba-tiba Fawwaz mengetahui yang Iqbal menjalin hubungan dengan sepupunya sendiri.

'aku tak peduli apa orang kata..yang aku tahu aku suka dia.. dan dia suka aku'

Redup dan alunan angin di petang itu menjadi kaku seketika seolah-olah telah dihentikan oleh dua insan ini. Sememangnya semua orang kampung mengetahui keakraban Iqbal dan Fawwaz sejak kecil lagi malahan mereka berdua seolah-olah dua saudara kandung. Dua sahabat ini kehilangan orang tua masing-masing ketika mereka berumur 11 tahun. Rombongan yang membawa penduduk kampung Sungai Batang ini telah terlibat kemalangan di kaki bukit menuju Cameron Highland kira-kira 5 tahun lepas. Seramai 37 orang telah terkorban dan hanya Iqbal dan Fawwaz sahaja yang terselamat. Berita ini amat menggemparkan seluruh negara kerana kemalangan ngeri ini adalah yang terburuk sejak hampir 13 tahun yang lepas.

-----------------------------------------------------------------------

Kedua mereka baru sahaja menamatkan persekolahan masing-masing kerana kurang minat belajar sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun mereka baru sahaja mengjangkau umur 16 tahun namun susuk tubuh dan penampilan mereka seperti telah berumur 20-an. Seperti sudah dijangka oleh semua pihak, jika seorang berhenti maka seorang pasti akan menuruti. Mereka bukannya tidak pandai dalam pelajaran malahan ketika menduduki PMR tahun lepas, mereka mendapat keputusan yang agak cemerlang. Mereka nekad. Mereka perlu mencari pendapatan sendiri dan menampung perbelanjaan harian dan tidak mahu menagih simpati penduduk kampung selamanya.

Iqbal dan Fawwaz baru sahaja selesai menebas kebun di hujung kampung kepunyaan Wak Sarib. Orang kaya ini sememangnya amat disenangi oleh penduduk kampung kerana budi baiknya dan amat pemurah. Seolah-oleh menjadi rutin kepada Iqbal dan fawwaz untuk mengambil upah membuat apa sahaja yang boleh menampung kehidupan mereka berdua. Dari memungut buah koko, mengopek buah kelapa, menebas, membaja pokok dan bermacam lagi. Mereka puas. Walaupun pendapatan yang diperolehi tidak seberapa namun mencukupi untuk mereka membeli kelengkapan dapur dan sedikit keperluan peribadi mereka berdua. Rumah usang orang tua Iqbal menjadi tempat tinggal mereka berdua sejak mereka menjadi anak yatim. Walaupun segalanya serba kekurangan namun rumah ini sahajalah peninggalan yang masih ada.



..bersambung...